Kenapa Kita Kena Jaga Kebersihan Pantai? Ini Lima Sebabnya

Baru-baru ini Muslim Volunteer Malaysia (MVM) menganjurkan program bersihkan pantai di Pantai Irama, Bachok, Kelantan.

Beberapa kru MVM bersama sukarelawan turut serta dalam program ini.

Difahamkan, setelah kira-kira dua jam aktiviti dijalankan, hasil sampah yang berjaya dikutip adalah sebanyak 73.9 kilogram.

Daripada angka tersebut, 44.8 kilogram adalah sampah plastik, 1.05 kilogram sampah polistrin, 0.9 kilogram sampah kertas dan 27.2 kilogram berikutnya adalah sampah lain-lain.

Gambar: Muslim Volunteer Malaysia

Tidak cukup dengan angka itu, malah sebanyak 837 batang puntung rokok dan 30 helai topeng pelitup muka juga turut ditemui.
Angka di atas menunjukkan tahap kesedaran ‘orang kita’ terhadap keprihatinan menjaga alam sekitar dan kebersihan pantai masih lagi jauh ‘ketinggalan’.

Kenapa pentingnya pantai yang bersih?

Mungkin ada yang tak tahu, sebenarnya pantai yang bersih adalah sangat penting dan ianya mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian kita.

1- Laut sumber oksigen

Gambar: Google

Selalu yang kita faham, oksigen dihasilkan daripada pokok dan tumbuh-tumbuhan melalui proses fotosintesis.

Tapi tahukah anda, oksigen yang dihasilkan daripada hutan hanyalah 28 peratus sahaja, manakala 70 peratus sebahagian besarnya adalah daripada hidupan marin serta dua (2) peratus lagi daripada lain-lain.

Laut menghasilkan oksigen daripada organisma marin phytoplankton, algal plankton dan rumpai air melalui proses fotosintesis; menukar karbon dioksida dan cahaya matahari kepada gula yang digunakan organisma tersebut sebagai tenaga.

Salah satu jenis phytoplankton iaitu Prochlorococcus melepaskan jutaan tan oksigen ke atmosfera.

Jika laut kotor dan tercemar, organisma-organisma marin ini juga akan turut terjejas dan tidak mustahil, bekalan oksigen bumi juga akan terganggu.

2- Kehadiran ikan

Gambar: Google

Ada ikan akan menuju ke kawasan bakau yang terletak berdekatan pantai untuk bertelur.

Di sini, kepentingan pokok bakau amat luas sekali di mana ikan-ikan akan bertelur di kawasan celahan akar bakau.

Setelah telur itu sampai ‘masa’, anak ikan pun ‘menetas’ dan akan hidup sementara di situ.

Kawasan bakau yang didiami itu ibarat ‘taska’ bagi mereka sebab di situlah tempat makan, ‘bermain’, mengenal ‘dunia’ dan sebagainya sehinggalah sampai usianya, anak-anak ikan itu matang dan kembali ke laut semula.

Jika pantai itu bersih, ikan akan ke kawasan bakau dengan banyak, malah hidupan lain seperti ketam juga turut serta dan ini menjadikan ekosistem di situ seimbang.
Namun jika sebaliknya, pantai itu mungkin tidak menjadi tumpuan ikan, sekaligus menjadikan pantai itu sekadar menjadi kawasan yang ‘kosong’ tanpa ekosistem sempurna.

3- Mengundang penyu & hidupan marin lain

Gambar: Google

Pantai yang bersih bukan sahaja penting untuk pembiakan ikan, malah ia juga mampu mengundang hidupan marin lain seperti penyu.

Masih ingat lagi, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini, pantai-pantai tumpuan tidak dikunjungi orang awam dan sekaligus kawasan di situ terpelihara daripada sampah dan kekotoran.

Menakjubkan, ada pantai yang sudah kembali bersih berjaya ‘menambat’ hati penyu dan ikan lumba-lumba untuk berenang di sekitar perairan itu, seperti yang pernah berlaku di sekitar pantai Port Dickson, Negeri Sembilan pada Mei lalu.

Tidak cukup dengan itu, malah beberapa negara di lain juga turut berlaku peristiwa sama, di mana banyak hidupan marin singgah ke pantai dan sungai di kawasan komuniti yang telah bersih tanpa pencemaran.

Hikmahnya kedatangan hidupan marin seperti ini ke pantai yang bersih itu adalah ia boleh menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat eko-pelancongan, secara tidak langsung turut menaik taraf populariti pantai berkenaan.

4- Jaminan sumber makanan laut komuniti nelayan

Infografik: Jabatan Perikanan Malaysia

Jika merujuk kepada rajah Zon Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia ini, Zon Konservasi dan Zon A dari 0 hingga lapan batu nautika adalah kawasan paling dekat dengan pantai.
ia dikhususkan sebagai zon tangkapan ikan bagi nelayan tempatan yang umumnya menjalankan tangkapan berskala kecil menggunakan bot biasa, sampan, pukat kecil dan sebagainya.

Jika pantai bersih dan tidak tercemar, tidak mustahil banyak ikan tertentu akan mendiami zon kawasan tersebut, sekaligus akan menjamin ‘rezeki’ buat nelayan tempatan.

Namun jika berlaku perkara sebaliknya, sumber perikanan mereka terhad dan akan terjejas, maka nelayan tempatan ini terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan jumlah tangkapan masing-masing.

Tidak kurang juga, ada antara mereka yang terpaksa menuju ke Zon B untuk menangkap ikan, dalam masa sama ia melanggar undang-undang limitasi zon yang ditetapkan serta turut bersaing dengan bot nelayan zon tersebut yang lebih besar.

5- Tanda menjadi manusia beramanah dan rakyat yang bertanggungjawab

Gambar: Google

Allah menciptakan pantai dan laut untuk diberikan kepada kita sebagai medan rezeki buat nelayan, sumber kehidupan buat komuniti setempat, warisan bangsa dan sebagainya.
Sebagai manusia, apabila kita menjaga kebersihan kedua-dua kawasan ini, itu adalah tanda kita bersyukur dan beramanah menggunakan nikmat tersebut dengan sebaiknya.

Malah dari sudut orang awam, ia menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya agar dapat memberi manfaat kepada semua.

Pantai yang bersih pasti akan menjadi pilihan awam sebagai tempat bersantai, tumpuan pelancong luar yang ingin merasai kehangatan cuaca di pantai Malaysia, malah boleh menaikkan imej kawasan tersebut sebagai lokas menarik.

Dalam masa sama, tidak perlu untuk kita semata-mata mengharapkan pihak berautoriti untuk menggazetkan sesebuah pantai dan laut itu sebagai Taman Negara, pusat pelancongan atau tempat warisan bersejarah.

Sebaliknya menjadi tugas kita sebagai rakyat biasa untuk mempunyai kesedaran sendiri dalam menjaga keadaan pantai dan laut itu agar ianya terpelihara secara mampan.

Kesimpulan

Dalam aspek global aras tinggi, kita kena faham, orang luar (pelancong, bangsa asing & negara luar) melihat Malaysia sebagai salah satu negara ulung dalam wilayah Nusantara.
Rata-rata mereka telah membaca sejarah tentang bagaimana ampuhnya kekuatan nenek moyang kita dahulu dalam menguasai wilayah pantai dan laut hingga digelar Raja Lautan.

Bukan sahaja sebagai sumber rezeki, malah laut juga menjadi zon perdagangan, tanda kekuasaan pemerintahan, medan pertempuran dan pusara buat pahlawan-pahlawan pelaut yang gugur.
Begitu banyak hubungan semulajadi antara laut dengan bangsa kita dan itulah sejarah yang harus ditanam dalam diri betapa pentingnya lautan dengan kehidupan seharian kita.

Gambar: Google

Pada hari ini, tugas kita pula untuk terus menjaga, memelihara dan memulihara pantai dan laut agar ianya kekal menjadi warisan pusaka bangsa.

Bayangkan, sekiranya kita pada hari ini tidak bertindak menjaga kebersihan pantai hingga berlaku pencemaran di lautan, apakah lagi yang tinggal untuk anak cucu kita?

Adakah kita sanggup menjadi ‘pengkhianat’ yang menjadi asbab lautan kita musnah? Tidak kan?

Justeru, jagalah kebersihan pantai walaupun sekadar mampu membuang sampah straw plastik ke dalam tong sampah yang disediakan.

Perubahan dan kejayaan yang besar biasanya bermula daripada usaha kecil yang konsisten.

Pantai ini maruah kita, lautan ini warisan kita. Jagalah sebaik-baiknya kerana di akhirat kelak kita akan disoal; bumi telah memberikan kita kehidupan maka apa pula sumbangan kita kepada alam sekitar?

Pantai yang bersih menandakan manusia di sekitarnya juga mempunyai akal yang bersih.

Semoga kita bersama-sama mampu menjaga amanah ini dengan baik.

Jom jadi sukarelawan bersihkan pantai

MVM akan terus menjalankan pelbagai program memupuk kesedaran tentang alam sekitar pada masa akan datang.

Hingga hari ini, peluang untuk menjadi sukarelawan MVM masih lagi dibuka untuk anda semua dan sekiranya berminat, anda boleh mendaftar sebagai sukarelawan MVM di pautan ini.

Jangan lupa, ikuti juga laman media sosial Facebook dan Instagram serta subscribe emel kami untuk mengetahui sebarang informasi terkini MVM dari semasa ke semasa.

Jom berbakti untuk alam sekitar!

Gambar: Muslim Volunteer Malaysia

Sumber:
1- https://www.nationalgeographic.org/activity/save-the-plankton-breathe-freely/
2- http://mobipotcms.com/content/prints/article/site:tanjongbunga-param:hutan_bakau_gurney_drive-link:7126
3- https://www.dof.gov.my/index.php/pages/view/50
4- https://sinarplus.sinarharian.com.my/kisah-masyarakat/mula-fasa-pkp-pantai-makin-bersih-dolfin-penyu-pun-datang-pd-tapi-sekarang/