PROJEK #PENAMVM- AKU SEORANG SUKARELAWAN OLEH HAZIMAH YAAKOB

Hai volunteer,

Insyallah pada hari ini, kami akan kongsikan kepada anda artikel  #PenaMVM .Beliau yang merupakan salah seorang volunteer aktif di MVM iaitu Hazimah Yaakob. Semoga anda mendapat manfaat daripada tulisan  beliau. Selamat membaca!

Penulis : Hazimah Yaakob

Bismillahirrahmanirrahim…

Penghujung tahun 2017 adalah detik permulaan segala-galanya. Kewujudan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) telah membuka langkah pertama aku dalam bidang kesukarelawanan. Bidang yang mengajar seribu satu makna tentang kehidupan. Ini kisah tentang aku, seorang sukarelawan.

Aku menyertai satu program kelolaan MVM yang diberi nama Social Media The Gathering (SMTG) – Celik Hati. Program ini khas untuk memberikan pendedahan kepada para sukarelawan tentang dunia sebenar Orang Kelainan Upaya (OKU) Kategori Penglihatan. Ketika itu terlalu besar harapan aku agar ada ilmu berguna yang dapat aku manfaatkan dari program ini. Aku menyertai program ini untuk meneroka dunia mereka yang istimewa ini dan keduanya kerana Opah.

Opah adalah insan yang telah melahirkan ayah aku. Pada asalnya Opah dilahirkan sempurna. Namun seiring dengan pertambahan usia, kesihatan Opah semakin merosot. Kaki Opah tidak mampu lagi untuk berdiri apatah lagi berjalan hingga terpaksa berkerusi roda. Lebih menyedihkan, Opah hilang keupayaan untuk melihat. Atas persetujuan semua, Ayah dan adik-beradiknya sepakat untuk bergilir-gilir menjaga Opah.

Berbalik pada program SMTG, ternyata masih banyak perkara yang tidak aku ketahui. Contohnya tentang bagaimana cara yang betul untuk memberi orang buta makan. Caranya adalah dengan menggunakan muka jam sebagai rujukan. Misalnya dengan memberitahu mereka kita meletakkan nasi pada kedudukan pukul 6, sayur pada pukul 2 dan ayam pada pukul 11. Berbeza dengan cara yang kami lakukan pada Opah. Kami letakkan semua dalam satu pinggan tanpa memberitahu kedudukannya dan Opah biasanya akan menyuap sendiri makanan.

Tanpa pengalaman menguruskan orang buta, kami banyak berpandukan rasional sendiri dalam setiap tindakan. Satu perkara yang menjadi rutin Opah setiap hari adalah bertanyakan tentang waktu, siang atau malam. Bila Opah tidur dan terjaga, dia akan lupa tentang waktu. Kadang-kadang nyanyuk Opah datang. Kami belikan jam dinding yang akan berbunyi setiap jam memberitahukan waktu. Tapi ia tidak banyak membantu. Opah tetap memanggil untuk bertanyakan waktu. Melalui program SMTG, aku dapat tahu ada satu rantai kunci jam yang apabila ditekan akan memberitahukan waktu. Aku terfikir mungkin jam ini sesuai untuk Opah. Tapi sayangnya ia cuma ada dalam versi Bahasa Inggeris. Opah tak faham Bahasa Inggeris.

Terlalu banyak untuk aku senaraikan segala perkara yang aku pelajari semasa program tersebut. Tapi ianya tidak dapat dipraktikkan kerana ketika itu tiba giliran Ayah Alang untuk menjaga Opah. Hinggalah pada suatu petang Jumaat, beberapa minit sebelum umat Islam berbuka puasa, Opah kembali menghadap Pencipta. Saat berita itu sampai kepadaku, aku sedang memandu pulang dari tempat kerja. Hanya tangisan dan esakan menjadi bicara. Saat itu aku sedar segalanya sudah terlambat. Maafkan aku Opah.

Bakti terakhir yang dapat aku berikan kepada Opah hanyalah menguruskan jenazahnya. Pernah beberapa kali apabila ada pihak yang menganjurkan kursus pengurusan jenazah, aku tidak dapat sertai kerana faktor kekangan masa. Siapa sangka Allah memberikan peluang untuk aku belajar secara terus melalui jenazah Opah. Ketika petugas yang memandikan jenazah bertanya siapa yang ingin membantu, semua sanak saudara sukarela menghulurkan bantuan. Bermula dari memandikan, mengkafankan, solat jenazah hinggalah kepada proses pengebumian, semuanya diuruskan saudara terdekat. Moga roh Opah tenang di sana. Al-Fatihah untuk Opah.

Apa yang ingin aku sampaikan, kita mungkin berfikir untuk bergelar seorang sukarelawan kita perlu menyertai aktiviti-aktiviti sukarelawan atau mendaftarkan diri sebagai sukarelawan. Secara teorinya tiada yang salah tentang itu. Namun percayalah anda adalah seorang sukarelawan saat anda membantu sesiapa sahaja di sekeliling anda dengan rela hati. Rumah adalah sebaik-baik tempat untuk bermula dan medan terbaik untuk belajar memberi. Memberi takkan pernah mengurangkan. Sebaliknya ia menyuburkan nilai-nilai murni dalam diri kita. Sebenarnya tanpa kita sedar kita adalah seorang sukarelawan.