MVM Dan Diana Amir Agihkan 1800 Unit Tabung Kepada Murid SK Puchong Utama.
PUCHONG, 12 Februari 2018 – “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit” dan “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”, inilah antara dua peribahasa yang sering kita dengar bagi mendidik anak-anak untuk belajar menabung sejak dari awal usia mereka. Memang tidak dinafikan, pendidikan kewangan haruslah ditanam dalam diri kanak-kanak sejak dibangku sekolah rendah, mahupun pra-sekolah lagi.
Hari ini sangat bertuah, MVM telah bersepakat dengan pihak SK Puchong Utama untuk mengagihkan sebanyak 1800 buah Tabung Sekolah Prihatin kepada pelajar-pelajar tahun 1 hingga tahun 6 dan sekaligus merasmikan Tabung Sekolah Prihatin MVM 2018 di SK Puchong Utama 1pagi ini. Istimewanya, Majlis Perasmian Tabung Sekolah Prihatin MVM 2018 ini telah dirasmikan oleh Selebriti dan Ikon MVM 2018, Diana Amir.
Melihat peluang pendidikan ini, MUSLIM VOLUNTEER MALAYSIA (MVM) segera membina ruang kerjasama dengan sekolah angkat MVM yang pertama, iaitu SK Puchong Utama 1 bagi menanam bukan sahaja sikap suka menabung, tetapi juga mendidik kanak-kanak ini untuk menjadi seorang yang suka memberi atau bersedekah kepada orang yang lebih susah. Pihak MVM yakin bahawa sifat suka memberi dan membantu orang yang memerlukan haruslah didedahkan kepada anak-anak sejak kecil lagi agar ia menjadi sinonim atau satu kebiasaan bagi mereka untuk menolong orang sekeliling dan tidak mementing diri sendiri apabila dewasa kelak.
MVM yang didaftarkan pada 30 Disember 2014 ini turut memfokuskan pembangunan sosial secara bersepadu melalui kerjasama dengan masyarakat setempat. MVM memfokuskan kepada pembangunan ekonomi penerima bantuan secara berkala. MVM banyak menyantuni golongan-golongan ini dengan pelbagai program seperti Pure Heart, Di Sebalik Pintu, Jejak Mahabbah, MVM Apprentice, Qurban MVM dan banyak lagi. Setakat ini hampir 80 buah program kebajikan telah dijalankan dan hampir 6000 buah keluarga penerima bantuan telah menerima manfaat dari dana yang telah berjaya dikumpul daripada sumbangan rakyat Malaysia yang pemurah. Bantuan yang diberikan tidak hanya tertumpu di Malaysia sahaja malahan bantuan telah diperkembangkan lagi ke luar negara seperti Syria, Jordan, Rohingya dan lain-lain melalui misi-misi kemanusiaan bersama dengan rakan-rakan NGO lain.
Tabung Sekolah Prihatin ini bukan sahaja membuka peluang untuk para pelajar sekolah menabung setiap hari, malah seberapa sahaja kutipan tabung yang berjaya dikumpulkan akan disalurkan ke program-program kebajikan anjuran MVM bagi membantu lebih ramai orang yang memerlukan terutamanya golongan asnaf di Malaysia, pelarian Syria dan juga Rohingya. Bukan itu sahaja, kami juga berusaha untuk memberi peluang kepada guru-guru untuk turut menyertai misi-misi bantuan kecemasan ke luar negara.
Menurut Presiden MVM, Muhammad bin Jantan, selain Tabung Sekolah Prihatin yang diberikan kepada pelajar sekolah, MVM juga turut membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk bersedekah dengan mendapatkan Tabung Prihatin MVM 2018 di laman sosial MVM atau hubungi pihak MVM. Tabung Prihatin MVM 2018 ini telah dirasmikan di Majlis Pelantikan Ikon MVM 2018 pada tahun lepas. Ia adalah salah satu inisiatif MVM secara konvensional bagi mengumpulkan dana untuk terus menganjurkan program-program kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan. Jika sebelum ini, MVM hanya tertumpu pada medium di Internet sebagai satu platform untuk mengumpul dana kebajikan, berbeza pada tahun 2018 ini, pihak MVM turut merancang untuk mengumpul dana secara konvensional. Hal ini adalah untuk memperluas lagi hebahan tentang program-program kebajikan MVM dan juga memberi kesedaran tentang program amal dan kesukarelawanan dengan lebih luas kepada setiap lapisan masyarakat terutamanya mereka yang tidak terdedah dengan penggunaan Internet.
Dengan ini, MVM mengajak orang ramai untuk bersama-sama mengamalkan sikap suka menabung, bersedekah dan membantu orang yang lebih memerlukan dalam penglibatana aktiviti kesukarelawanan. Selain itu, MVM juga ingin menggalakan ibubapa dan guru-guru untuk mendidik dan mendedahkan pelajar-pelajar sekolah terutamanya sekolah rendah dengan kerja-kerja amal kebajikan serta sifat prihatin terhadap golongan yang lebih susah.
Berikut kami kongsikan gambar sepanjang Majlis Perasmian Tabung Sekolah Prihatin MVM 2018 :
[foogallery id=”15955″]