Kembara Amal Qurban Kemboja 2017 – 20 Ekor Lembu Disumbangkan
Syukur alhamdulillah, pada 1 – 4 September 2017 seramai 15 sukarelawan Muslim Volunteer Malaysia dengan kerjasama Volunteering Trip Malaysia telah berangkat ke Kampung Thnot, Kemboja bagi menjayakan program Kembara Amal Qurban ini.
Tim pertama Kembara Amal Korban Kemboja ini iaitu Muhammad, Khairul Zhafran dan 2 orang jurugambar, Azmi dan Syukri telah pun terlebih dahulu berlepas ke Kampung Thnot, Kemboja pada 27 Ogos 2017 untuk merekodkan dokumentasi dan sebagai persediaan awal program disana.
Tim kedua menyusul ke sana pada 1 September 2017 bersamaan dengan Hari Raya Aidil Adha yang pertama, sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, mereka dibawa terus menaiki van ke Kampung Thnot yang terletak di Daerah Kratie dengan jarak perjalanan yang memakan masa hampir 7 jam.
Hasil dari kajian sebelum ini, Kampung Thnot mempunyai penduduk yang berbilang agama. Selain Islam, penduduk di kampung itu juga ada yang menganut agama Buddha.
Seramai 500 buah keluarga Muslim menetap di kampung itu sejak dulu lagi. Aktiviti utama penduduk kampung tersebut adalah bertani, menternak haiwan dan berjualan kecil-kecilan di kedai runcit. Walaupun infrastruktur di kampung tersebut sangat asas, namun itu bukan masalah bagi anak-anak di kampung tersebut untuk belajar ilmu agama.
Tujuan kehadiran awal tim pertama MVM ke sana adalah untuk memantau progres pembinaan dan pembaikan kolah dan tempat wuduk di surau dan sekolah disana untuk manfaat penduduk setempat dan juga untuk tujuan dokumentasi MVM dan VTM.
Selain itu juga, ketibaan tim pertama ini bertujuan untuk memantau persiapan ibadah korban termasuk pembelian 20 ekor lembu yang mahu dilaksanakan pada 2 September 2017.
Alhamdulillah hasil dari sumbangan rakyat Malaysia, dana sebanyak RM15,000 berjaya dikumpulkan bagi melaksanakan projek pembinaan kolah tempat wuduk dan tandas tersebut.
1 September 2017
Tim kedua Sukarelawan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh. Mereka terdiri daripada 5 orang tim MVM dan VTM ( Syed, Ayuni, Izzat, Faezah, Amalina) dan 5 orang sukarelawan MVM dan VTM ( Nisa, Syarifah, Fazli, Faiz, Muhsin )
Bersama-sama mereka pada hari itu adalah 6 kotak bantuan Pek Riang Ria bagi meraikan 300 kanak-kanak comel di Kampung Thnot. Pek Riang Ria itu terdiri daripada pensil warna, buku warna, gula-gula dan belon.
Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarangsa Pnom Penh, mereka meneruskan perjalanan ke Kampung Thnot. Hujan renyai-renyai menyambut kedatangan mereka sebaik tiba di kawasan perkampungan tersebut dan tanpa sempat melepaskan lelah seketika, mereka terus menuju ke kawasan sekolah dan surau bagi meraikan 300 kanak-kanak yang sudah bersedia menunggu.
Suasana petang itu menjadi sangat meriah dan penuh keriangan dengan pelbagai aktiviti seperti bermain belon, mewarna buku sambil beramah mesra dengan penduduk kampung. Agak terkejut apabila pihak kami dimaklumkan yang ini merupakan kali pertama anak-anak di kampung ini mengenal buku mewarna dan belon. Keriangan jelas terpancar di wajah kanak-kanak ini yang kebanyakannya terdiri dari yang berumur 5 – 12 tahun ini.
Sepanjang berada di sana, mereka bermalam di rumah keluarga abang salam yang juga merupakan pengetua sekolah agama bagi kampung tersebut. Walaupun serba sederhana, tapi layanan yang diberikan adalah sangat-sangat mesra dan memuaskan.
Pada sebelah malam, selepas solat Isyak di surau, aktiviti membungkus beras dijalankan. Setiap bungkus mampu mengisi 5 kg beras untuk diedarkan ke keluarga asnaf di sekitar kampung tersebut.
Kemudian, pada keesokan harinya pula….
Maka tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Kemuncak kepada Program Kembara Amal Qurban Kemboja, iaitu aktiviti penyembelihan lembu korban untuk 500 keluarga. Hasil daripada sumbangan rakyat Malaysia ini sebanyak 20 ekor lembu korban telah berjaya ditumbangkan.
Proses penyembelihan pada hari tersebut dilaksanakan di dua lokasi iaitu yang pertama adalah di kawasan lapang belakang surau. Sebanyak 13 ekor lembu berjaya ditumbangkan disitu, manakala lagi baki 7 ekor lembu disembelih di perkarangan rumah pengetua sekolah.
Lebih mengharukan lagi apabila penduduk kampung ini memaklumkan yang ini merupakan jumlah lembu korban terbanyak ditumbangkan dalam sejarah aktiviti Qurban mereka dikampung tersebut.
Sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh penduduk Kampung Thnot amat mesra dan penuh kasih sayang. Kegembiraan di wajah mereka jelas terpancar dan mereka amat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang sejauh ini untuk memberi bantuan kepada mereka.
Tahniah dan Terima kasih rakyat Malaysia !
Tim Sukarelawan meninggalkan kampong Thnot dengan seribu kenangan. Wajah-wajah ceria yang menggamit jiwa ini akan terus diingati untuk kami ke sana lagi.
Mereka kembali ke kota Phnom Penh untuk meneroka cerita yang terselit di sebalik bangunan-bangunan, sungai dan watak-watak manusia di kota itu. Tidak sah ke Kemboja kalau tidak menjenguk tempat yang paling basah dengan darah suatu ketika dahulu, iaitu Killing Field.
Killing Field terletak 14.5 kilometer dari Pnom Penh. Killing Field ini adalah lokasi pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Khmer Rouge pada tahun 1970-an. Dari 1975-1979, Rejim Pol Pot dan Khmer Rouge telah membunuh 1.7 Juta penduduk Kemboja. Iaitu 21 peratus dari populasi rakyat ketika itu.
Setelah melawat dan melihat sendiri kekejaman dan keganasan Khmer Rouge di Killing Field yang meninggalkan seribu rasa sayu dan gerun, mereka pulang ke hotel untuk solat di masjid berdekatan. Masjid yang diberi jolokan nama Masjid Bangkok tersergam indah dengan dua buah menara dan kubah yang disalut warna merah delima. Dinding masjid pula diselimuti warna putih yang menenangkan setiap mata yang memandang.
Usai solat di Masjid Bangkok, Phnom Penh, tim sukarelawan menikmati pemandangan dan arus sungai Mekong di atas perut sebuah feri. Sungai Mekong adalah sebatang sungai yang simbolik memisahkan 3 buah negara iaitu Kemboja, Laos dan Thailand.
3 buah negara ini mendapat manfaat dari kesuburan sungai Mekong sejak zaman berzaman. Sambil menikmati pemandangan yang indah, mereka dihidangkan dengan Nasi Goreng Butter yang sangat sedap. Nasi goreng dan Sungai Mekong, satu kombinasi yang sangat baik.
Selesai menggali sejarah Kemboja menyelusuri Sungai Mekong, mereka menaiki Tuk-Tuk, sebuah motor beroda tiga yang sinonim dengan bandar itu menuju ke Masjid Darussalam yang terletak di timur Sungai Mekong. Masjid ini asalnya dibina pada era penjajahan Perancis lagi dan pada tahun 2010 masjid ini melalui proses pembinaan semula.
Sesuai dengan fungsi sebagai pusat aktiviti masyarakat, Masjid Darussalam dikelilingi dengan gerai-gerai makan yang pelbagai. Amat mudah untuk mencari makanan halal di kawasan itu. Telur bakar adalah satu menu pelik yang sempat mereka cuba di sana.
Alhamdulillah, pengembaraan kali ini ke bumi Kemboja telah melakar satu definisi baru dunia kesukarelawanan bagi MVM dan VTM. Terlalu banyak jenis bantuan yang boleh kita salurkan di sana. Namun disebalik kekurangan harta duniawi yang mereka saksikan, satu perkara yang dapat dipelajari dari trip kali ini adalah kekayaan jiwa dan ilmu agama.
Semoga Allah merahmati penduduk Kampung Thnot dan rakyat Islam di Kemboja.
Amin.
[foogallery id=”12750″]