61 TAN FABRIK TERKUMPUL DALAM MASA SINGKAT

Pada 28 Oktober 2023 (Sabtu) yang lalu, MVM telah mengadakan projek pengumpulan pakaian terpakai dan barangan fabrik di Masjid Kota Damansara dengan kerjasama Life Line Clothing (LLC) dan Masjid Kota Damansara.

LIFE LINE CLOTHING (LLC) INI APA?

Life Line Clothing Malaysia (LLCM) telah ditubuhkan pada tahun 2013 dengan satu matlamat, iaitu untuk mengurangkan pencemaran sisa fabrik Malaysia dan mengalihkan tekstil daripada tapak pelupusan sampah. Mereka mengumpul tekstil terpakai dan barangan isi rumah di seluruh Malaysia melalui kerjasama erat dengan pelbagai komuniti, syarikat dan kerajaan tempatan.

Boleh lawati website mereka di LLC Malaysia

Life Line Clothing (LLC) inilah yang menerima keseluruhan fabrik daripada MVM tempoh hari. Nilai bagi kesemua fabrik tersebut dikira dan dibayar selepas proses timbangan selesai.

Hasil daripada projek ini kemudiannya dimasukkan ke dalam  Tabung Kecemasan Palestin

SAMBUTAN YANG HEBAT DARIPADA ORANG AWAM.

Sambutan yang diterima sangat diluar jangka sehingga ruangan pejabat MVM di Puchong Jaya hampir penuh dalam tempoh yang singkat.

Dalam masa seminggu sahaja sebaik projek pengumpulan ini diumumkan, sudah begitu ramai yang menghantar barangan fabrik mereka. Lebih mengejutkan, dalam tempoh ini hampir 2.5 tan baju terpakai  telah berjaya dikumpulkan walaupun hari sebenar program belum tiba.

Kami juga tidak menyangka seawal jam 7 pagi sewaktu hari program, 28 Oktober 2023 (Sabtu), selain kehadiran sukarelawan yang hadir awal, orang ramai juga sudah mula memasuki perkarangan masjid.

Jam 7.30 pagi, suasana di luar Masjid Kota Damansara telah mula sesak dengan kereta-kereta yang berbaris untuk menurunkan barang-barang sumbangan mereka.

Kami menggunakan sistem “Drive-Thru” untuk kemudahan orang ramai menghantar barangan. Apabila kawasan penerimaan barang telah mula penuh, sebahagian besar sumbangan selepas itu terpaksa dimasukkan terus ke dalam lori kerana kehabisan ruang.

Syukur, cuaca sejak pagi hingga ke tengahari pada hari itu sangat cerah dan agak panas. Semua orang pada ketika itu sangat bertungkus-lumus mengangkat dan mengasingkan kesemua fabrik untuk dimasukkan ke dalam lori LLC, selain mengasingkan untuk jualan amal.

JUALAN PRE-LOVED LAKU !

Selain aktiviti sumbangan baju-baju terpakai, MVM turut mengadakan aktiviti jualan pre-loved. Tim MVM dengan komitmen padu sukarelawan berusaha mengasingkan baju-baju yang masih baru (tidak pernah dipakai) untuk dijual semula kepada orang ramai dengan harga serendah RM1 sahaja sehelai.

Jualan pre-loved mendapat sambutan yang agak luar biasa dengan kehadiran orang ramai memenuhi booth memilih pakaian yang mereka mahukan. Di kalangan mereka yang hadir adalah penyelam bundle selain orang awam yang hadir ke masjid dan singgah untuk memborong.

HUJAN DATANG TANPA DIDUGA

Kemuncak program di sebelah petang dengan cuaca yang tiba-tiba mendung adalah ujian besar buat kami. Fabrik tidak boleh basah. Dalam masa yang sama barangan fabrik yang dihantar oleh orang awam semakin penuh di dalam dan di luar kawasan masjid. Barisan kereta orang awam masih banyak yang menanti untuk masuk. Lori LLC pula sudah silih berganti keluar dan masuk ke masjid untuk membawa barang-barang sedia ada ke kilang mereka secepat yang boleh. Program seakan-akan tiada penamat ketika itu.

Ujian kedua kami selain cuaca adalah barisan panjang kereta-kereta rakyat Malaysia yang bersemangat untuk menyumbang. Ia pemandangan yang membanggakan, juga meresahkan. Jalan raya sekitar amat sesak teruk sehingga pelbagai kreativiti penyumbang dapat kamj lihat. Ada yang terpaksa mewujudkan SOP baru demi untuk menyerahkan barang sumbangan, memandangkan ada yang datang dari jauh dan terlalu lama terperangkap dalam kesesakan.

Oleh kerana cuaca tiba-tiba kelihatan agak gelap dan kami tidak mahu barangan sumbangan ditolak oleh pihak kilang kerana basah, kami akhirnya memutuskan untuk memberhentikan pengambilan fabrik. Lambakan sedia ada yang melebihi sasaran asal sudah cukup. Sekali lagi, cabaran ketiga terpaksa kami ambil iaitu risiko dimarahi oleh orang ramai.

Petugas dan sukarelawan terpaksa dipecahkan kepada 2 kumpulan  untuk memaklumkan penutupan program, walaupun jam belum menunjukkan pukul 4 petang.

Ramai yang menyatakan rasa kecewa kerana ada yang datang dari jauh semata-mata untuk menghantar baju ke Masjid Kota Damansara pada hari itu. Kami pula terpaksa menutup program sehinggalah hujan akhirnya turun.

Dengan berbekalkan kudrat dan jumlah sukarelawan yang ada pada ketika itu, kami semua terus bergerak laju menguruskan baju-baju yang ada untuk di bawa masuk ke dalam lori, sehinggalah kami semua kehilangan daya. Mungkin kepenatan kami dapat dilihat, beberapa orang awam tampil membantu. Kami amat-amat berterima kasih.

Dugaan paling berat adalah apabila hujan tidak turun perlahan. Ia mungkin yang paling lebat, sesekali disertai oleh kilat. Dengan upaya yang masih ada, semua orang berlari-lari mengangkat barangan semampu masing-masing demi supaya ia tidak basah. Mana-mana yang basah pula tetap kami kumpulkan. Mujur pihak kilang tidak menolak, cuma ia tidak akan ditimbang sebaliknya akan dilupuskan.

Kami akhirnya terpaksa mengalah dengan cuaca. Sementara menunggu hujan reda, ada diantara kami yang berehat sambil menikmati bubur nasi panas yang telah disediakan oleh penyumbang yang budiman serta pihak masjid Kota Damansara.

Walaupun program terpaksa dihentikan awal dan pelbagai reaksi pahit diterima, kami berikrar untuk  menambahbaik program pada masa akan datang.

Jangan risau, program ini tidak akan terhenti disini sahaja. Insha-Allah, MVM akan terus melaksanakan program ini sekiranya bertemu kesempatan lain, namun di mana dan bila, anda kena nantikan maklumannya di laman sosial media kami.

HUJAN TELAH REDA, BARANG MASIH BANYAK UNTUK DIURUSKAN.

Kami tidak menjangka barangan fabrik terpakai pada hari itu akan berjaya dikumpul melebihi sasaran. Ditambah dengan cuaca yang tiba-tiba berubah hujan, kami merasakan kerja-kerja kami bakal selesai lewat.

Hakikatnya benar, jam sudah mencecah pukul enam petang tetapi proses menaikkan fabrik ke atas lori kelihatan tidak berkurang, walaupun lori sudah banyak berganti dan trip ke kilang sudah kembali berkali-kali ke masjid semula.

Sukarelawan juga terpaksa menambah kerja mengasingkan baju yang kering dan basah. Kepenatan yang tadinya masih terasa ternyata tidak berkurang. Impak sumbangan besar-besaran rakyat Malaysia, kami perlu mendapatkan tenaga tambahan, kali ini daripada pekerja LLC sendiri. 

Syukur kerja-kerja berjaya dilakukan sehingga habis. Tepat jam 7 malam kesemua fabrik telah pun dibawa ke kilang. Perkarangan di luar masjid juga sudah kembali tenang seperti sediakala. Tim sukarelawan, sebelum pulang telah siap membersihkan ruangan di masjid.

HASIL KUTIPAN GOG 3.0 YANG MEMBERANGSANGKAN.

Hasil pengumpulan baju secara “Drive-thru” pada hari program tersebut yang berlangsung selama sehari adalah sebanyak RM4,913.10 (49.13 tan Baju).

Manakala, hasil daripada sumbangan orang ramai melalui tabung bantuan pula adalah sebanyak RM2,070.00.

Jadi setelah dikira ditolak dan ditambah, baju-baju yang berjaya dikutip pada hari kejadian berjaya cecah 61 Tan. 

Mungkin bagi sebahagian orang nilai ini tidak besar, tetapi bagi kami ia adalah usaha yang amat bermakna. Selain dana ini dapat disalurkan untuk membantu projek di Palestin, sumbangan anda semua sedikit sebanyak telah menghalang pencemaran sisa fabrik dan kerosakan alam.

Terima kasih kami ucapkan kepada rakyat Malaysia yang telah hadir ke program GOG 3.0 yang lalu. Kami sesungguhnya tidak menyangka sambutan daripada orang ramai pada hari tersebut akan sebegitu hebat, tidak kira apa jenis sumbangan baik pakaian, fabrik mahupun kewangan.

Anda semua sangat pemurah.

Pihak kami ingin memohon maaf diatas segala kekangan dan kekurangan sepanjang program tempoh hari. Insha-Allah akan kami cuba perbaiki kelemahan program ini pada masa akan datang.

GREEN O GO BIN 4.0 AKAN DITERUSKAN HUJUNG MINGGU INI!

Insha Allah, Green O Go Bin 4.0 akan diadakan di Manjung Perak minggu ini iaitu pada 13 dan 14 Januari 2024 di Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam Amanjaya, Lumut Kiri, Manjung Perak.

Jom hebahkan kepada kenalan anda yang berada di Perak supaya datang meyumbang dengan cara menghantar pakaian serta fabrik terpakai untuk dikitar semula pada hari program.

Ajak ramai-ramai okay.