Ramai orang cakap, kalau join volunteer, apa yang kita dapat? Dapat penat ada la. Tapi sebelum itu, apa maksud volunteer atau sukarelawan ni sebenarnya?
Sukarelawan bermaksud seseorang yang tidak dibayar untuk memberikan tenaga dan waktunya demi mencapai objektif sesuatu organisasi, samada organisasi amal, komuniti atau sebagainya.
Sebenarnya terdapat beberapa manfaat yang anda boleh perolehi.
Antaranya:
- Mengurangkan stress dan bosan
Ketika kita membantu orang lain, kita bukan sahaja membantu orang itu menjadi lebih baik, malah membantu kita menjadi seseorang yang lebih baik juga. Kita akan merasa nikmat membantu dan dalam tak sedar timbul rasa ikhlas dalam diri. Rasa ini yang akan membantu kita menperoleh perasaan bahagia dan dalam tak sedar dapat membuang rasa stress dan bosan yang kita alami.
- Meningkatkan jaringan kenalan (Networking)
Ketika terlibat dengan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan, kita sebenarnya berhadapan atau bergaul dengan pelbagai orang hebat yang baru kita kenali. Boleh jadi dia seorang pengarah syarikat, atau pengarah filem. Mana tahu daripada perkenalan dari aktiviti kesukarelawanan ini, ada rezeki anda boleh menjadi seorang pelakon terkenal suatu hari nanti! Apa-apa pun kita dapat bergaul secara baik melalui aktiviti-aktiviti ini kerana semua yang terlibat adalah insan-insan yang sanggup menyumbang tenaga dan bakti tanpa mengharap balasan, In shaa Allah.
- Meningkatkan Qalbun Syakirun atau hati yang bersyukur.
Apabila kita terlibat dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, selalunya kita akan membantu orang-orang yang kurang berkemampuan daripada kita. Melalui itu, akan wujud rasa belas kasihan dalam hati. Jika sebelum ini kita selalu mengeluh tentang apa yang kita tidak cukup, melalui aktiviti seperti ini, kita akan lebih menghargai apa yang kita ada. Wujudnya perasaan itu adalah kerana keikhlasan hati kita membantu dan perasaan menghargai itu dinamakan bersyukur. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang bersyukur.
- Hidup terasa lebih bermakna
Manusia fitrahnya ialah beribadah kepada Allah S.W.T. Walaupun begitu, ibadah itu sendiri tidak terikat dengan hanya solat, zakat, puasa dan haji semata-mata. Pelbagai cabang ibadah lagi yang kita perlu tahu, antaranya ialah bergaul dan membantu saudara kita yang tidak berkemampuan. Allah menciptakan manusia hidup secara berpasangan, berkeluarga dan bermasyakarakat. Melalui kemasyarakatan inilah akan memberikan rasa hidup kita lebih bermakna kerana kita tidak hidup bersendirian. Boleh jadi kita senang harini, jadi kita pilih untuk bantu orang lain. Boleh jadi esok atau lusa, kita ditimpa musibah, orang lain pula akan menolong kita, In Shaa Allah. Begitulah kehidupan bermasyarakat, kehidupan akan terasa lebih bermakna apabila suasana kemasyarakatan itu dihidupkan.
- Mendapat pahala dan keredhaan daripada Allah S.W.T
Inilah manfaat yang paling tidak ternilai harganya. Melalui rasa ikhlas, bersyukur dan pelbagai rasa positif yang kita perolehi daripada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan tadi, akhir sekali apa yang kita harapkan ialah mendapat keredhaan Allah. Allah tidak melihat hasil apa yang kita lakukan, tetapi Allah menilai usaha apa yang kita kerjakan. In Shaa Allah.
Jadi, itulah antara beberapa manfaat yang bakal sukarelawan atau volunteer perolehi secara tidak langsung melalui aktiviti kesukarelawanan ini. Semoga Allah memberi keredhaan atas usaha murni sukarelawan-sukarelawan yang telah berbakti selama ini.
Jadi anda di luar sana yang masih belum pernah menjadi sukarelawan, kami di Muslim Volunteer Malaysia ingin mengajak anda untuk sertai dan terlibat dengan pelbagai aktiviti dan program kesukarelawanan yang kami anjurkan.
Nak join? Anda boleh terus klik link ini www.mvm.org.my/sukarelawan atau terus hubungi Whatsapp 0138343012 (Hasif).
Anda juga boleh rujuk soalan-soalan lazim berkaitan pendaftaran #VolunteerMVM di artikel berikut: F.A.Q & Info Terkini Pendaftaran Sukarelawan MVM
Rujukan: http://mochwingga.blogspot.my
1 Comment
View Comments